CTOS Dan CCRIS – Segalanya Yang Anda Perlu Tahu

calendar-range
Dikirim 21/08/2018
(dikemaskini 21/12/2023)
ctos dan ccris

Saya ada CTOS, saya ada CCRIS, boleh mohon ke pinjaman bank? Ini adalah soalan yang sering kami terima dari pelanggan yang ingin menggunakan khidmat kami untuk memohon personal loan bank. Tetapi, apa sebenarnya maksud CTOS dan maksud CCRIS?

Jika anda telah disenaraihitamkan (blacklisted) oleh pihak bank atau institusi kewangan, sudah pasti permohonan pinjaman peribadi anda akan ditolak oleh pemberi pinjaman. Tetapi, betulkah anda telah diblacklist?

ctos dan ccris - credit report

CTOS Dan CCRIS – Ramai Yang Keliru

Ramai yang masih keliru apa itu CTOS dan apa itu CCRIS. CCRIS dan CTOS tak sama. Kedua-dua istilah ini adalah berbeza. Dan, kedua-duanya sangat penting untuk mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang pengurusan kewangan mereka.

Sebelum kita membincangkan tentang perbezaan CTOS dan CCRIS, baca lebih lanjut dan ketahui dahulu sebenarnya maksud CTOS dan maksud CCRIS.

CTOS – CTOS Data System Sdn. Bhd.

CTOS Data System Sdn Bhd

CTOS ini sebenarnya adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (Credit Reporting Agencies Act 2010). Syarikat ini menyediakan laporan kredit yang merangkumi semua individu di Malaysia. Secara ringkas, semua maklumat pinjaman atau hutang anda ada di laporan kredit CTOS.

Laporan kredit ini kemudiannya digunakan oleh institusi-institusi kewangan di Malaysia seperti bank, syarikat pinjaman wang, syarikat  yang menyediakan servis seperti syarikat telekomunikasi, dan lain-lain.

CTOS mengumpul maklumat anda untuk laporan kredit yang lengkap dari pelbagai sumber. Antaranya; Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penerbitan prosiding undang-undang, maklumat akhbar, dan sebagainya.

CTOS Bukan Blacklist

Ramai keliru antara CTOS dan blacklist. Sebenarnya, CTOS hanyalah syarikat yang mengumpul maklumat kredit anda dari sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas. CTOS tidak mempunyai kuasa untuk menyenaraihitamkan (blacklisted) nama anda pada laporan mereka.

CTOS juga tidak membuat sebarang cadangan sama ada individu terbabit layak atau tidak mendapatkan permohonan kredit kepada institusi-institusi kewangan yang merujuk kepada laporan CTOS.

Dalam erti kata lain, syarikat CTOS hanya menyediakan maklumat kredit individu di dalam satu laporan yang mudah dirujuk oleh individu mahupun institusi-institusi kewangan.

Maklumat ini memudahkan institusi-institusi kewangan atau peminjam membuat keputusan sama ada ingin meluluskan permohonan pinjaman individu terbabit atau pun tidak.

Maklumat pada laporan CTOS juga sangat membantu individu untuk mengetahui status kredit terkini mereka, seterusnya menjadikan mereka lebih bijak dalam mengurus kewangan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan CTOS dan servis mereka disediakan, anda boleh melayari laman web rasmi CTOS di alamat berikut – Laman web rasmi CTOS – CTOS Data System Sdn. Bhd. atau mengunjungi cawangan mereka di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, atau Johor.

CCRIS – Central Credit Reference Information System

CCRIS - Central Credit Reference Information System

Jika CTOS adalah nama syarikat swasta, CCRIS atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat adalah satu sistem di bawah selaan Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

Seperti juga CTOS, CCRIS mengumpul dan menyediakan maklumat kredit individu-individu di Malaysia. Maklumat ini akan dimasukkan di dalam laporan kredit individu dan akan digunakan ketika permohonan kredit seperti pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman perumahan, atau kad kredit.

Bezanya CTOS dan CCRIS ialah CTOS perlu mengumpul maklumat anda. Tetapi CCRIS pula, maklumat anda akan terus dimasukkan ke dalam pangkalan data CCRIS setiap kali anda buat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan yang berdaftar. Tak kisahlah pinjaman peribadi, pinjaman kereta atau pinjaman rumah.

Semua permohonan kredit anda ada di dalam laporan CCRIS.

CCRIS tidak boleh memasukkan anda dalam senarai hitam (blacklist) jika rekod bayaran balik anda buruk. CCRIS yang sebenarnya hanya menyenaraikan rekod pinjaman anda. Rekod ini akan digunakan oleh institusi kewangan seperti bank untuk buat penilaian terhadap pemarkahan kredit anda.

Perbezaan CTOS dan CCRIS

Anda dah tahu serba sedikit tentang CTOS dan CCRIS, dapatkah anda mengenal pasti perbezaan antara kedua-duanya?

Faktor utama yang membezakan antara CTOS dan CCRIS ialah daripada mana sumber maklumat kredit anda diperolehi.

Sumber maklumat kredit pada rekod CCRIS adalah secara terus daripada Bank Negara Malaysia. Manakala CTOS pula adalah daripada pelbagai sumber seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Untuk menunjukkan perbezaan ini dengan lebih mudah – jika anda telah di senarai hitamkan oleh syarikat telekomunikasi (Celcom, Maxis dan sebagainya), maklumat ini tidak akan dipaparkan di laporan CCRIS anda, tetapi akan dipaparkan di laporan CTOS.

Kenapa CCRIS dan CTOS Sangat Penting?

Sebab utama yang buat CTOS dan CCRIS sangat penting ialah apabila anda ingin memohon pinjaman atau kad kredit. Sebelum bank menentukan sama ada permohonan anda boleh diproses atau tidak, bank akan merujuk kepada rekod kredit anda. 

Rekod kredit ini sudah tentulah diperolehi daripada laporan CTOS dan CCRIS. Daripada rekod ini, bank akan menilai sama ada mereka sanggup menanggung risiko atau tidak dengan meluluskan permohonan pinjaman anda. Institusi kewangan selalunya menggunakan lebih dari satu laporan kredit untuk menilai pemohon.

Jika rekod kredit anda cantik – tiada tunggakan atau sebarang senarai hitam, sudah tentu tiada masalah untuk bank meluluskan permohonan pinjaman atau permohonan kad kredit anda. Tetapi, jika sebaliknya – bank tak akan berani tanggung risiko dan akan menolak permohonan anda. Dalam sesetengah kes, skor kredit yang baik juga boleh mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah berbanding biasa.

Maklumat yang terdapat pada laporan CTOS dan laporan CCRIS juga diguna bank untuk mengira Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio – DSR).

Jika anda sudah ada banyak pinjaman, bank akan berfikir dua tiga kali untuk meluluskan pinjaman anda kerana anda sudah termasuk dalam kategori komitmen tinggi – walaupun bayaran bulanan anda cantik.

Semua ini akan dikira oleh sistem bank. Oleh kerana sistem kiraan setiap bank adalah berbeza, hanya bank sahaja yang tahu bagaimana rekod kredit anda dikira untuk menentukan peluang kelulusan pinjaman anda.

Oleh itu, adalah penting anda menjaga rekod kredit anda untuk kemudahan anda buat pinjaman atau memohon kad kredit pada masa hadapan.

Blacklist CTOS dan CCRIS

Blacklist CTOS CCRIS

Perkara ni selalu sangat disebut-sebut. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan blacklist CTOS atau blacklist CCRIS ? 

Sebenarnya istilah blacklist atau senarai hitam oleh CCRIS atau CTOS tak sepatutnya wujud. Ini kerana kedua-duanya hanya menyediakan laporan kredit dan tidak ada kuasa untuk menyenaraihitamkan seseorang.

Tetapi, untuk memudahkan perbualan wujudlah istilah blacklist CCRIS atau CTOS ini. Konsep senarai hitam ini sebenarnya merujuk kepada hutang tertunggak di laporan kredit anda. Jadi selagi hutang tertunggak ini tidak diselesaikan, anda berada dalam kedudukan senarai hitam oleh institusi kewangan. 

Sebagai contoh jika anda ada tunggakan hutang pinjaman dengan bank dan hutang tersebut disenaraikan di laporan CTOS, maka secara tidak langsung anda akan disebut sebagai blacklist CTOS. Walaupun hakikatnya tak ada perkataan “blacklist” pun dalam laporan CTOS tu. Perkataan senarai hitam pun tak ada.

Oleh kerana anda mempunyai tunggakan dengan institusi kewangan, sudah pastilah skor kredit anda tak cantik. Faktor ini secara langsung menyukarkan anda untuk mohon pinjaman, terutama dengan institusi kewangan dan pinjaman anda ditolak. Jadi nak memudahkan orang sebut pinjaman kena reject sebab blacklist CTOS. Anda yang buat hutang, CTOS yang dapat nama buruk.

Kalau nak keluarkan nama anda daripada blacklist CCRIS atau CTOS, anda perlu bayar semua tunggakan yang ada di kedua-dua laporan tersebut. Mudah.

Ada Masalah CTOS & CCRIS – Bagaimana Nak Mohon Pinjaman Peribadi?

Dengan keadaan ekonomi sekarang, sukar untuk menjaga rekod kredit supaya sentiasa cantik. Kadang-kadang ada miss payment dan tunggakan dipaparkan di rekod CCRIS. Atau tak bayar hutang Telco atau kedai, dan dah di blacklist di report CTOS.

Jadi, adakah memang dah tak boleh nak mohon pinjaman bank?

Jika anda dah di senarai hitam oleh institusi kewangan, jawapannya memang tak boleh. Tak usah berangan-angan nak buat sebarang pinjaman bank.

Tetapi jika anda ada tunggakan PTPTN atau telah di senarai hitam oleh syarikat, pinjaman berlesen, kedai atau apa sahaja institusi selain institusi kewangan (bank/koperasi/pinjaman berlesean), anda masih boleh cuba mohon jika gaji anda tinggi – selalunya gaji bersih  RM5,000 ke atas.  Bank boleh pertimbangkan. Tetapi, jika gaji anda rendah, selalunya bank akan terus reject.

Kat Mana Nak Dapatkan Laporan CTOS dan CCRIS dan Bagaimana Nak Baca Laporan Tersebut?

Sekarang anda dah tahu apa itu CTOS dan CCRIS. Pada artikel yang akan datang saya akan menyentuh bagaimana untuk mendapatkan laporan CTOS dan laporan CCRIS, dan bagaimana untuk membaca kedua-dua laporan tersebut.

Pastikan anda bookmark laman web ini atau follow kami di Facebook atau Twitter untuk update terbaru.

Update: Cara dapatkan laporan CTOS dan laporan CCRIS

Soalan Lazim Berkaitan CCRIS dan CTOS 

Apakah itu CCRIS?

CCRIS adalah singkatan untuk Central Credit Reference Information System, atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia. Sistem ini mengumpul dan menyediakan maklumat kredit individu.

Apakah itu CTOS?

CTOS adalah sebuah syarikat swasta yang berdaftar, iaitu syarikat CTOS Data Systems Sdn. Bhd. Syarikat ini menyediakan laporan kredit untuk individu dan syarikat.

Apa beza CTOS dan CCRIS?

CTOS adalah syarikat, manakala CCRIS adalah sistem. Walaupun kedua-duanya menyediakan laporan kredit yang sama, maklumat CCRIS adalah daripada kerajaan iaitu Bank Negara Malaysia manakala sumber laporan CTOS pula adalah daripada sumber awam dan institusi kewangan seperti yang telah dibincangkan pada artikel di atas.

Dari manakah CTOS mendapat maklumat kredit individu?

Secara am, pihak CTOS mendapatkan maklumat yang terkini daripada sumber-sumber seperti jabatan-jabatan kerajaan, institusi kewangan, penerbitan undang-undang, maklumat akhbar, dan sebagainya.

Apa yang perlu di buat jika maklumat di dalam CTOS tidak tepat?

Jika anda dapati maklumat anda di dalam laporan CTOS adalah tidak tepat atau salah, hubungi pihak CTOS menerusi E-Mel, telefon atau melalui laman web CTOS. Pihak CTOS akan menyiasat laporan yang di buat dan akan mengambil tindakan selanjutnya. Anda mungkin perlu menyediakan dokumen yang berkaitan seperti laporan polis, surat sokongan bank, surat peguam atau perintah mahkamah.

Saya tidak meminjam dan berhutang dengan bank, kenapa saya boleh mempunyai masalah CTOS?

Pihak CTOS bukan setakat mengumpul maklumat pinjaman bank, tetapi juga maklumat daripada syarikat-syarikat lain seperti syarikat telekomunikasi dan utiliti. Syarikat-syarikat ini dikenali sebagai “referi perdagangan”. Masalah CTOS yang anda maksudkan mungkin berkaitan dengan syarikat-syarikat ini. Anda perlu dapatkan laporan kredit anda atau hubungi pihak CTOS untuk semakan lanjut.

Kenapa bank tak luluskan permohonan kredit walaupun skor CTOS tinggi?

Skor CTOS yang tinggi tidak menjamin permohonan pinjaman diluluskan. Skor ini hanya sebagai penanda aras atau rujukan terhadap individu tersebut dan pihak pemberi pinjaman. Terutama pinjaman bank di mana lulus atau tidak bergantung kepada banyak faktor. Maklumat lanjut boleh rujuk artikel Faktor-faktor yang menyebabkan pinjaman ditolak di laman blog ini.

Berapa lama rekod saya disimpan di dalam CTOS dan CCRIS?

Rekod anda di dalam CCRIS akan disimpan selama 12 bulan manakala maklumat anda di CTOS adalah selama-lamanya sebagai sejarah kredit untuk rujukan anda.

Adakah saya disenaraihitamkan jika permohonan kredit saya ditolak?

Tidak. Banyak faktor yang menyebabkan permohonan anda tidak lulus – bukan sekadar skor kredit daripada CTOS atau sejarah pinjaman CCRIS.

Bagaimana nak semak sama ada nama saya disenaraihitamkan atau tidak?

Cara paling mudah adalah dengan mendapatkan laporan CTOS atau laporan CCRIS. Anda boleh baca bagaimana nak dapatkan kedua-dua laporan ini dengan cara yang paling mudah melalui pautan di atas.

Bagaimana saya nak semak CTOS untuk skor kredit?

Dapatkan laporan CTOS. Rujuk panduan cara dapatkan laporan CTOS di laman blog ini.

Bagaimana nak dapatkan CCRIS report?

Rujuk panduan cara dapatkan laporan CCRIS di laman blog ini.

Bolehkah saya mendapatkan laporan kredit dari institusi kewangan seperti bank, koperasi kredit atau kredit komuniti (pinjaman berlesen)?

Tidak boleh. Anda hanya boleh mendapatkan laporan CCRIS menerusi Bank Negara Malaysia dan laporan CTOS menerusi pihak CTOS Data Systems Sdn. Bhd. Pihak institusi kewangan tidak boleh mendapatkan laporan kredit untuk individu yang bukan pelanggan mereka. Jika ada, mereka boleh didenda di bawah Akta Bank Pusat Malaysia 2009.

Bolehkah saya melantik wakil untuk mendapatkan laporan kredit saya?

Tidak boleh. Hanya anda yang mempunyai akses kepada laporan tersebut. Laporan kredit hanya akan dikeluarkan kepada pemilik maklumat tersebut melalui saluran yang betul.

Bolehkah saya ke luar negara jika saya disenaraihitamkan di laporan CTOS ?

Boleh. Blacklist di laporan CTOS atau CCRIS tidak akan memberi kesan terhadap keupayaan anda untuk ke luar negara.

Bagaimana nak clear nama saya daripada senarai hitam CTOS atau CCRIS?

Sangat mudah. Bayar balik hutang dan selesaikan semua tunggakan hutang yang disenaraikan di kedua-dua laporan tersebut.

Masih ada soalan berkaitan CTOS dan CCRIS? Tinggalkan pertanyaan anda pada ruangan komen di bawah. Kami akan jawab untuk bila berkelapangan.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

86 Comments
Inline Feedbacks
View all comments