UNIMAS dan Kolej ERICAN jalin kerjasama akademik

0

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kolej ERICAN kini berkolaboratif dalam program kerjasama akademik yang memberi peluang seluasnya kepada pelajar khususnya di negara ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Justeru, Naib Cancelor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata kerjasama tersebut akan berlangsung melalui perkongsian data, maklumat dan kepakaran antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.

“Kerjasama ini adalah sesuai dengan kapasiti ERICAN selaku rakan bagi bidang-bidang yang ditawarkan oleh UNIMAS iaitu Ekonomi dan Perniagaan, Sains Komputer dan Maklumat, Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia serta Seni Gunaan dan Kreatif.

“Serentak dengan itu, kepakaran dan kemahiran yang terdapat di UNIMAS, data dan maklumat berkenaan dapat dijana dan di-tambah nilai.

“Saya mengumpamakan proses ini sebagai ‘smart partnership’ yang berasaskan situasi menang-menang melalui UNIMAS ‘offshore’ program yang berpangkalan di Kolej ERICAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UNIMAS, Kolej ERICAN dan UNIMAS Holdings di sini, semalam.

MoA berkenaan telah ditandatangani oleh Mohamad Kadim, Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan ERICAN Datuk Eric Chong dan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Jabidah Monseri sambil disaksikan  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Mohamad Kadim menambah, seiring dengan perkembangan ilmu dan 22 tahun penubuhan UNIMAS, terdapat keperluan program kerjasama dengan agensi luar bagi meningkatkan visibiliti UNIMAS di samping memperluaskan akses pembelajaran kepada pelajar yang berada di luar kampus UNIMAS.

Malah, katanya kolaboratif berkenaan turut sama menyumbang kepada usaha memperkasakan dan memperkukuhkan status UNIMAS sebagai universiti komprehensif dengan nilai tambah sebagai universiti yang telah diberi status autonomi selaras dengan tuntutan semasa seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Kolej ERICAN yang terletak berdekatan KLCC merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang ditubuhkan pada 1994 di bawah Kumpulan Pendidikan ERICAN.

Program kerjasama UNIMAS-ERICAN ini melibatkan program akademik daripada empat fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Maklumat, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif.

Sembilan program pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian akan ditawarkan iaitu Kewangan, Pemasaran, Pengurusan Korporat, Kejuruteraan Perisian, Sistem Maklumat, Pengkomputeran Multimedia, Pembangunan Sumber Manusia, Sains Kognitif dan Pengurusan Seni.

Penawaran program berke-naan dijangka bermula pada sesi akademik 2016/17 dengan pengambilan pelajar kohort pertamanya pada Februari tahun depan.